Office Utama

Monday, August 15, 2011

Mercedes Biaya Tangan Bionik

( MATTHEW James mempamerkan tangan bionik yang dibiayai oleh Mercedes-Benz dan merupakan tangan palsu paling canggih pernah dibina di dunia )

LONDON 15 Ogos – Bagi kebanyakan remaja, memiliki kereta Mercedes-Benz adalah impian mereka, tetapi berlainan pula dengan seorang remaja kelainan upaya, Matthew James yang mempunyai cita-cita lebih spesifik.
James, 14, yang tinggal di Wokingham, Berkshire dan merupakan peminat Formula One mahu supaya syarikat kereta itu membantunya mendapatkan satu tangan bionik baru.

Dia yang dilahirkan tanpa tangan kiri telah menulis surat kepada ketua pasukan F1 Mercedes GP Petronas, Ross Brawn untuk meminta wang berjumlah 35,000 pound (RM170,088) bagi mendapatkan tangan palsu paling canggih.
Sebagai balasannya, dia menawarkan untuk meletakkan logo Mercedes-Benz, sama seperti di kereta F1 pada tangan palsunya itu nanti.

Syarikat itu tersentuh dengan surat Metthew dan bersetuju membantunya mendapatkan dana yang diperlukan.
Mercedes-Benz bersetuju membiayai yuran pemasangan tangan palsu itu dan latihan menggunakannya di ibu pejabat Touch Bionics di Livingston, Scotland yang bernilai 25,000 pound (RM121,491).

Syarikat itu turut membantunya mendapatkan baki 10,000 pound (RM48,596) lagi untuk mendapatkan tangan palsu itu dengan meminta derma kepada peminat dan mendapatkan penaja.

Mercedes-Benz bekerjasama dengan pakar tangan palsu, Touch Bionics untuk mencipta i-LIMB Pulse, tangan palsu dari jenisnya yang paling canggih di dunia.

Tangan palsu itu mempunyai banyak kemampuan, antaranya boleh menulis, melukis gambar, mengikat tali kasut dan menangkap bola.
“Ia sangat menakjubkan. Tangan palsu lama saya hanya boleh membuat perkara asas iaitu buka dan tutup sahaja.

“Namun tangan ini boleh melakukan banyak perkara dan kelihatan sangat hebat. Mereka juga meletakkan logo kecil Mercedes-Benz pada pergelangan tangan palsu ini,” katanya selepas menggunakan tangan palsu itu Jumaat lalu.




No comments:

Post a Comment