Office Utama

Saturday, August 27, 2011

Manusia jadi kanvas lukisan


WASHINGTON - Kita selalu melihat artis menunjukkan bakat mereka di atas kanvas. 

Tetapi, seorang artis, Alexa Meade, 24, menggunakan teknik agak berbeza kerana menjadikan manusia sebagai kanvas lukisan dalam bentuk tiga dimensi (3D). 

Pengalaman kerja Meade sebelum ini yang banyak terlibat sebagai pelatih galeri dan dikelilingi ahli politik semasa kempen politik berlangsung mencetuskan idea baru untuknya menghasilkan hasil seni menggunakan manusia yang tampak lebih unik. 

“Kerja melukis pada tubuh dan wajah manusia ini memerlukan kesabaran amat tinggi kerana model tidak boleh bergerak sepanjang masa,” menurutnya. 

Hasil kerja Meade didakwa menyamai lukisan Boo Ritson yang pernah terlibat membuat kulit muka album kedua kumpulan rock Britain, :The Maccabees:.


Gabenor Bank Negara terima gred A



GABENOR Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (atas) sekali lagi disenaraikan sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia 2011 dalam kaji selidik dijalankan majalah kewangan Global Finance.
Zeti menerima penarafan gred A oleh majalah kewangan itu bersama-sama Amando Tetangco dari Filipina, Fai-Nan Perng (Taiwan), Glenn Stevens (Australia), Riad Salameh (Lebanon) dan Stanley Fischer (Israel).

Beliau juga menerima penarafan itu pada tahun lalu dan 2009. Kecuali pada 2008, Zeti menerima gred A secara berturut-turut sebelum ini sejak 2003.
Sementara itu, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Ben S. Bernanke menerima gred ‘C’ dalam penilaian tahunan dijalankan Global Finance sejak 1994 itu.

Gred Bernanke tidak berubah seperti tahun lalu, manakala Presiden European Central Bank (ECB), Jean-Claude Trichet yang akan melepaskan jawatan diberikan gred ‘B’ selepas pencapaian ‘A’ pada tahun lalu.

Gabenor Bank of Japan (BoJ), Masaaki Shirakawa turut menerima gred ‘C’ manakala Mark Carney dari Kanada dan Mervyn King dari United Kingdom, masing-masing diberikan gred ‘B’. 

INFO: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

  Zeti adalah gabenor ketujuh Bank Negara yang dilantik pada Mei 2000.


  Memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara pada tahun 1979 hingga 1984.


  Dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia pada 1994, dan dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia 1 September 1998 selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundur diri.


  Pada November 2008, beliau menerima kepercayaan tinggi bank pusat antarabangsa dipilih sebagai ahli petugas khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkaji perubahan sistem pasaran global

Friday, August 26, 2011

Kucing duduk di atas pokok kaktus

( GAMBAR seekor kucing duduk di atas sebatang pokok kaktus di Gurun Sonoran, Arizona dirakamkan oleh Curt Fonger. [gambar kecil] IMEJ dekat seekor kucing duduk di atas sebatang pokok kaktus )

Seekor kucing duduk di atas sebatang pokok kaktus setinggi 15.24 meter selepas ia menyelamatkan diri daripada seekor singa yang lapar di Gurun Sonoran, Arizona, lapor sebuah akhbar semalam.
Kucing tersebut berada di atas pokok berduri itu selama enam jam sebelum ia turun tanpa mengalami sebarang luka setelah singa tiada di sekitar kawasan pokok berkenaan.
Insiden melucukan tersebut berlaku pada pokok kaktus gergasi Saguaro yang berusia 300 tahun dan mempunyai duri sepanjang 5.08 sentimeter.
Gambar kucing di atas pokok kaktus itu dirakamkan oleh Curt Fonger, 69. Dia merakamkan gambar tersebut pada pukul 7 pagi selepas diberitahu oleh kawannya bahawa terdapat seekor kucing yang dikejar oleh seekor singa. 

Lubang hitam telan bintang

( LAKARAN artis menunjukkan aliran plasma yang keluar dari lubang hitam yang terletak empat bilion tahun cahaya dari Bumi )

Satu fenomena luar biasa lubang hitam menelan dan menghancurkan satu bintang berjaya dirakamkan buat pertama kali oleh ahli-ahli astronomi, lapor majalah Nature kelmarin.

Kejadian luar biasa itu turut melibatkan aliran plasma yang mengalir keluar ke ruang raksasa pusat galaksi yang terletak hampir empat bilion tahun cahaya dari Bumi.
Kemusnahan bintang tersebut dikesan dengan menggunakan Teleskop Swift pada 25 Mac lalu selepas ia kelihatan berlegar-legar terlalu hampir dengan lubang hitam.
Kebanyakan galaksi mempunyai lubang hitam yang besar dan ia akan menyedut apa saja benda berhampirannya akibat tarikan graviti yang terlalu kuat. 

Pengasas Apple letak jawatan sebab kesihatan

[kiri] Steve Jobs [kanan] Tim Cook

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Steve Jobs, 56, mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin dengan menyatakan dia tidak lagi mampu melakukan tugasnya.
Namun, dia berkata akan meneruskan peranan kepimpinan dalam syarikat yang diasaskannya 35 tahun di garaj rumahnya.
Keputusan itu dibuat mungkin disebabkan keadaan kesihatan Jobs yang menyebabkan dia terpaksa bercuti sakit sejak Januari lalu.
Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook dinamakan sebagai CEO yang baharu.
Dalam sepucuk surat kepada Lembaga Pengarah Apple dan komuniti syarikat itu, Jobs berkata, dia akan memberitahu mereka jika berasakan tidak mampu lagi melaksanakan tugasnya sebagai CEO.
Syarikat Apple menyatakan Jobs mencadangkan Cook dinamakan sebagai pemimpin bahru syarikat tersebut.
Menurut syarikat itu, Jobs dilantik menjadi pengerusi lembaga Apple dan Cook menjadi salah seorang anggotanya.
Syarikat Apple terkenal di dunia menerusi gajet iPhone, iPad dan iPod dan iTunes.
Pada Januari lalu, Jobs mengambil cuti sakit yang merupakan cuti sakit buat kali ketiga dalam tempoh beberapa tahun.
Sebelum ini dia berjaya mengharungi penyakit kanser pankreas dan menerima pemindahan hati.
Jobs dianggap sebagai legenda Lembah Silikon di Amerika Syarikat.

Monday, August 22, 2011

Masjidilharam Dibesarkan Lagi

( GAMBAR Masjidilharam di Mekah yang dirakam dari udara pada 20 Ogos lalu )

JEDDAH  - Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah merasmikan pelancaran projek pembesaran Masjidilharam yang menelan kos AS$10.6 bilion (RM31.8 bilion), Jumaat lalu.

Projek itu bertujuan untuk membolehkan kompleks tersebut menampung kira-kira dua juta jemaah pada satu-satu masa, lapor akhbar Asharq al-Awsat.

Kira-kira 10,000 pekerja sedang bekerja siang dan malam di tapak seluas 400,000 meter persegi itu.

Projek tersebut melibatkan binaan tambahan berbilang tingkat di bahagian utara kompleks berkenaan, serta tangga dan terowong untuk memudahkan laluan jemaah ke masjid itu.

Masjidilharam telah diperbesarkan pada pertengahan 1980-an tetapi bilangan jemaah yang semakin bertambah bermakna satu lagi projek pembesaran diperlukan.

Lewat Jumaat lalu, Abdullah turut merasmikan Menara Jam Diraja Mekah setinggi 601 meter, mercu tanda terbaru yang membantu jemaah di tempat-tempat suci lain mengenal pasti kedudukan Masjidilharam.

Menara jam itu ialah bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pencakar langit 828 meter yang dirasmikan di Dubai pada awal tahun lepas. 



Cip komputer menyerupai otak


NEW YORK 22 - Firma perunding dan teknologi multinasional, IBM dilapor telah membangunkan satu pemproses mikro yang hampir berjaya meniru fungsi otak manusia.


Sistem pemproses mikro itu dikatakan mampu 'menghubungkan' data sedia ada dengan pertemuan maklumat baru, sama seperti cara sinaps atau penyambung maklumat dalam otak bekerja.
Penyelidik percaya, kejayaan membangunkan teknologi itu boleh membuka laluan kepada lebih banyak penyelidikan melibatkan otak manusia.


Ketua penyelidik IBM, Dharmendra Modha berkata, kumpulannya sedang cuba membangunkan beberapa aspek minda seperti emosi, persepsi, deria rasa dan proses kognisi dengan 'mengeksploitasi kejuruteraan otak'.
Sistem yang dinamakan SyNAPSE itu menggunakan dua prototaip 'cip neurosinaps berkomputer'.
Kedua-duanya mempunyai 256 teras berkomputer, yang disifatkan saintis bersamaan neuron elektronik dalam otak manusia.


Satu daripada cip tersebut mempunyai 262,144 sinaps yang boleh diprogram, sementara satu lagi cip mengandungi 65,536 sinaps pembelajaran.


IBM bagaimanapun masih belum mendedahkan sepenuhnya bagaimana pemproses mikro SyNAPSE berfungsi, tetapi seorang pakar sains kognitif di Universiti of London, Dr Richard Cooper berkata, ia mampu menghubungkan maklumat menggunakan 'mesin maya'.


Katanya, menolak konsep hubungan yang kuat atau lemah, sistem seperti itu akan mengingati 'tumpuan' yang perlu diberi kepada setiap isyarat dan mengubahnya bergantung kepada pengalaman baru. 

Harga emas terus tinggi



Melonjak ke paras RM180 segram



HARGA emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing. 

Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika ketidaktentuan pasaran dunia.

“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.
Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran.

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh beberapa bulan ini,” tambahnya.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.


Check out this facebook page!

Check out this facebook page!

Sunday, August 21, 2011

Jaket penyejuk badan

( PEMAKAI akan kelihatan sedikit pelik kerana jaket tersebut akan menggelembung apabila digunakan )

KUCHOFUKU yang bermaksud 'pakaian berhawa dingin', telah menerima tempahan yang tinggi ekoran catuan tenaga elektrik di Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada 11 Mac lalu.
Permintaan terhadap produk yang mampu memberi kelegaan kepada tubuh badan daripada haba panas semakin meningkat dan mendapat perhatian.
Salah satunya ialah jaket Kuchofuku. Dua kipas elektrik di dalam jaket tersebut boleh dikawal untuk menyedut udara pada kelajuan yang berbeza, sekali gus membuatkan pakaian itu kelihatan kembung.
Walaupun kelihatan sedikit pelik disebabkan gelembung itu, setakat ini tiada pengguna yang mengeluh berpakaian sedemikian kerana lebih suka berasa sejuk berbanding kelihatan sedikit unik.
"Saya bekerja di tempat yang sangat panas dan perlu memakai pakaian lengan panjang, sebab itu saya datang ke sini untuk membeli jaket ini untuk kekal sejuk ketika bekerja," kata Ryo Igarashi yang ditemui ketika keluar dari pejabat Kuchofuku Sdn. Bhd. selepas membeli sepasang jaket berhawa dingin.
Igarashi, 33, menyatakan pakaian tersebut menawarkan kelegaan kepadanya yang bekerja di tapak pembinaan yang terdedah pada cuaca panas.
Hampir 1,000 syarikat di Jepun menggunakan Kuchofuku termasuklah syarikat gergasi automobil, pengeluar keluli, syarikat makanan dan firma pembinaan.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menjual kusyen dan tilam berhawa dingin yang menggunakan sistem jaring plastik paten Kuchofuku yang membolehkan udara mengalir sambil menyokong berat badan.

Awan debu 'telan' bandar

( GUMPALAN awan debu gergasi 'menelan' bandar raya Phoenix pada Khamis lalu )

PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Awan debu gergasi menyelubungi bandar raya ini, buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Tembok debu menyelimuti kota metropolitan berkenaan Khamis lalu dengan langit bertukar warna coklat manakala jarak penglihatan pula berkurangan sekali gus menjadikan keadaan merbahaya untuk memandu.
Awan debu dikenali sebagai 'Habook' itu turut menyebabkan beberapa penerbangan tergendala selama hampir sejam tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat fenomena tersebut.