Office Utama

Saturday, August 13, 2011

Video Dedah Isi Kaabah

( LEBIH dua juta umat Islam melakukan tawaf pada musim haji )

SELAMA beratus-ratus tahun, soalan apa ada di dalam Kaabah menjadi misteri kepada berjuta-juta umat Islam yang melakukan tawaf mengelilingi ‘Rumah Allah’ itu. Hanya golongan diraja Arab Saudi, pemimpin negara Islam dan orang tertentu dibenarkan memasukinya terutama semasa acara mencuci Kaabah yang dilakukan setahun sekali.
Bagaimanapun, pada tahun 2009 masyarakat dunia dapat menyaksikan rahsia Kaabah menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke dalam YouTube. Rakaman video selama lebih empat minit itu didakwa adalah yang pertama seumpamanya yang boleh ditonton oleh orang ramai.
Sebelum ini, keadaan di dalam bangunan batu yang terletak di dalam Masjidil Haram di Mekah itu sekadar digambarkan dan diceritakan dari mulut ke mulut.
Paparan di dalam video itu hampir menyamai cerita seorang wartawan dari Singapura, Ahmad Mohd. Don. Menurut beliau, keadaan di dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya dari pintu Kaabah yang terbuka.
“Asap kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak,” kata beliau yang mendapat peluang memasuki Kaabah semasa menunaikan haji di Mekah pada 8 September 1983 atas undangan khas kerajaan Arab Saudi.

Thursday, August 11, 2011

Bekas kapal perang jadi hotel

( BENTUK kapal perang Kiev )

BEIJING - Sebuah kapal pengangkut pesawat milik Kesatuan Soviet yang kini sudah dibubarkan dan menjadi sebahagian Rusia, Kiev kini diubah suai menjadi sebuah hotel mewah di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut akhbar South China Morning Post, kapal itu yang tidak lagi digunakan untuk berperang dijual kepada sebuah syarikat China pada 1996. Ia kemudian dijadikan pameran untuk satu taman tema tentera di Tianjin.
Namun, pemilik kapal itu, Taman Pesawat Binhai memutuskan untuk menjadikan ia sebagai sebuah hotel dengan kos ubah suai sebanyak £9.6 juta (RM 46.79 juta). Harga penginapan masih belum ditetapkan lagi.
( SEBUAH bilik tidur di dalam bekas kapal perang Kiev )

Keputusan untuk mengubahsuai itu dibuat kerana China kini memiliki sebuah kapal pengangkut pesawatnya yang pertama sekali gus dapat menarik kehadiran orang ramai untuk menikmati pengalaman tinggal di dalam hotel berkenaan.


Wednesday, August 10, 2011

Matahari hambur letusan amat kuat

( GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan letusan di matahari )

LOS ANGELES, Amerika Syarikat – Matahari menghamburkan letusan api amat kuat kelmarin sekali gus yang terbesar dalam tempoh hampir lima tahun.
Saintis-saintis memberitahu, impak fenomena berkenaan ke atas sistem satelit dan komunikasi adalah kecil kerana letusan berlaku di permukaan matahari yang membelakangkan Bumi.
Seorang saintis angkasa lepas A, Joe Kunches yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca negeri Colorado berkata, cuma terdapat laporan gangguan gelombang radio pendek di Asia susulan letusan kuat itu.
Matahari kini berada dalam fasa perubahan memasuki kitaran lebih aktif.
Saintis-saintis meramalkan akan berlaku lebih banyak letusan solar dalam masa lima tahun akan datang dengan letusan solar serupa berlaku pada Disember 2006.

Apple jadi syarikat terbesar dunia

SEORANG pelanggan melihat komputer iPad 2 keluaran Apple di syarikat telekomunikasi KT di Seoul semalam )


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Gergasi komputer dan telefon bimbit AS, Apple memintas pengeluar minyak global, Exxon Mobil sebagai syarikat terbesar di dunia untuk seketika kelmarin.
Nilai syarikat Apple yang diasaskan oleh Steve Jobs pada 1976 yang mengeluarkan telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad itu ialah AS$341.5 bilion (RM1.027 trilion) kelmarin sekali gus berjaya mengatasi Exxon yang bernilai AS$340 bilion (RM1.023 trilion).
Namun, Exxon kemudian merampas kembali gelaran syarikat terbesar dunia apabila sahamnya mengukuh kepada AS$352.9 bilion (RM1.06 trilion) manakala Apple di tempat kedua dengan nilai saham AS$346.7 bilion (RM1.04 trilion).
"Kreativiti kini mengambil alih kekuatan dan kudrat manusia," kata pengasas laman web Lastminute.com, Brent Hoberman.
Exxon juga dikenali dengan jenama Esso, mendapat pujian aktivis mesra alam manakala Apple dipuji kerana berjaya mengubah kehidupan harian dengan pengenalan gajet seperti iPod, iPad dan iPhone.
Pakar-pakar bagaimanapun, percaya Apple akan menjadi perniagaan pertama melepasi nilai AS$1 trilion (RM3 trilion) pada masa akan datang susulan pertumbuhan pesat syarikat tersebut. 

Detik-detik glasier runtuh di Alaska

 ( BEBERAPA pelancong yang menaiki sebuah bot dapat menyaksikan detik-detik runtuhan sebuah glasier di Tracy Arm-Fords Terror Wilderness, Alaska baru-baru ini )

ANCHORAGE, Alaska - Sekumpulan pelancong yang menaiki sebuah bot melihat runtuhan sebuah glasier di Tracy Arm-Fords Terror Wilderness, Alaska.



Kejadian itu berlaku beberapa meter dari runtuhan glasier tersebut yang berlaku baru-baru ini.
Seorang penumpang wanita patah kaki selepas dia tercampak di bahagian dek akibat pergerakan air.


Kawasan glasier itu di Teluk Alaska amat popular sebagai destinasi pelancong.




10 Keutamaan Orang Yang Berpuasa


Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah, di antaranya ialah :

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di surga yang dinamai Al Rayyan. Pintu surga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa.

Kata Nabi dalam satu haditsnya, pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (HR. Ahmad dan Bukhari-Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad saw sebagai benteng yang kukuh dari siksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu.

Dalam hal ini Rasul bersabda, “Puasa (Ramadhan) merupakan perisai dan benteng yang kukuh dari siksa api neraka.” (HR. Ahmad dan Al Baihaqi). Rasul menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan pergunjingan. (HR. Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada ahli puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak misik. 

Sehingga Rasul bertutur demikian, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih semerbak di sisi Allah dari bau minyak misik.”

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi ahli puasa yaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya meluapkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan dzikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya.

“Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan. Yaitu berbahagia kala berbuka dan kala bertemu Allah,” kata Rasul dalam hadits riwayat imam Muslim.

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesehatan dan kesembuhan dari beragam penyakit.

“Berpuasalah kalian, niscaya kalian akan sehat.” (HR. Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Abuya menegaskan bahawa rahasia kesehatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan materi-materi kotor lainnya dari dalam tubuh.

Menurut kerangka berpikir Abuya, puasa ialah fasilitas kesehatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketaqwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Qs. Al Baqarah: 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada ahli puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari siksa api neraka. Matanya tak akan sampai melihat pawai arak-arakan neraka dalam bentuk apapun juga.

Rasul yang mulia berkata demikian, “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (HR. Ahmad, Bukhari-Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam Al Quran Allah berfirman, “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.” (Qs. At Taubah: 112).
Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (As Saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) ke Allah. Makna lawatan, tegas Abuya, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) bisa sampai kepada Allah. Lawatan ke Allah ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilakoni (makan, minum, mendatangi istri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sembari mengutip Al Quran pula, Abuya mencoba menganalisa surah Az Zumar ayat 10: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Kata Al Maliki, orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tak terhitung banyaknya dari Dzat Yang Maha Pemberi, Allah swt.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktifitas orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerananya, orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah. Dalam satu hadits riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama persis dengan orang yang berpuasa itu sendiri meski dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi bertutur seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadhan…… meski hanya seteguk air. (Hr. Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjamaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan bershalawat (memintakan ampunan) baginya.



Tuesday, August 9, 2011

Salur darah manusia boleh digodam

JAY RADCLIFFE menunjukkan sebuah peranti radio yang digunakan untuk menggodam pam insulin semasa dia menghadiri persidangan Black Hat di Las Vegas pada Khamis lalu )

LAS VEGAS, Amerika Syarikat (AS) - Salur darah manusia turut tidak terselamat daripada penggodam komputer selepas seorang penyelidik keselamatan siber mendapati pam insulin alat pengawasan gula dalam darah boleh dikawal penggodam, lapor sebuah akhbar semalam.
Akibatnya, pesakit diabetis boleh dikawal supaya menerima terlampau banyak atau terlalu sedikit insulin iaitu hormon yang mengawal pencernaan gula, sekali gus membahayakan nyawa mereka.
Penyelidik siber berkenaan, Jay Radcliffe yang juga penghidap diabetes mencipta sendiri peranti radio untuk menggodam seterusnya mengawal pam insulin yang digunakan oleh pesakit diabetis.
Dia membentangkan penemuan itu pada persidangan keselamatan komputer Black Hat di sini pada hujung minggu lalu.
"Reaksi awal saya ialah peranti penggodam ini hebat tetapi saya kemudian berasa gerun apabila menyedari pam insulin yang membantu saya untuk terus hidup tidak memiliki kawalan keselamatan," katanya.
Penemuan Radcliffe mencetuskan kebimbangan mengenai peralatan kesihatan sedia ada seperti peralatan yang mengawal degupan jantung dan monitor bilik pembedahan di era Internet.

Umat Islam di Sweden berpuasa lebih 18 jam



KAHERAH 9 Ogos - Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar pada tahun ini ekoran terpaksa berlapar lebih lama, menjangkau 18 jam sehari kerana musim panas di utara Eropah.

Presiden Liga Islam Sweden, Omar Mustafa berkata, ekoran isu itu, beberapa imam dan pertubuhan Islam berbeza pendapat tentang bagaimana penganut Islam di utara Eropah perlu berpuasa.  Belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai setakat ini, katanya.  "Ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskannya, tetapi itu tidak bermakna anda perlu berpuasa sepanjang hari.  "Islam memberikan umatnya banyak pilihan," kata Omar kepada akhbar Sweden, The Local.

Bermula 1 Ogos lalu, umat Islam di Eropah mula berpuasa bulan Ramadan yang jatuh pada musim panas di mana waktu siangnya lebih panjang daripada biasa.  Sebagai contoh, pada Isnin lalu di bandar Umea di utara Sweden, terbit fajar bermula pada pukul 3.47 pagi waktu tempatan dan matahari terbenam pada pukul 9.41 malam, iaitu hampir 18 jam.  Isu itu kini masih dibincangkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang melibatkan imam-imam di seluruh Eropah."Isu ini sebenarnya telah lama dibincangkan dan tahun ini kita mengikut pergerakan matahari, tetapi perbincangan masih dijalankan," kata Omar.

Bagaimanapun cabaran itu sedikitpun tidak menjejaskan umat Islam di negara ini untuk menjalani ibadat berpuasa, malah menurut rangkaian pasar raya Coop, jualan mereka meningkat terutamanya barangan keperluan sepanjang Ramadan ini."Kami mendapati jualan buah- buahan, sayur-sayuran, daging halal dan kurma meningkat," kata pegawai media Coop, Louise Stephan.

Menurut anggaran agensi separa kerajaan, terdapat kira-kira 200,000 penduduk Islam di Sweden daripada sembilan juta penduduk negara itu.

Monday, August 8, 2011

Bonus setengah bulan untuk kakitangan awam, pesara

Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet serta para pegawai kanan kerajaan )

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas itu dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," kata Najib.
Katanya, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.


Ahli akrobat China berjalan antara dua belon

DETIK MENCEMASKAN...Saimaiti menyeberangi tali yang diregangkan di antara dua belon panas di Hunan )

CHANGSHA (Hunan): Ahli akrobatik terkemuka China, Saimaiti Aishan, berjaya berjalan di atas tali sepanjang 15 meter yang diregangkan di antara dua belon panas di atas ketinggian 30.5 meter (100 kaki), semalam.
Lelaki keturunan Uighur berusia 27 tahun itu melakukan aksi ngeri berkenaan sebagai persediaan awal untuk cuba mencipta rekod baru dunia dengan berjalan di atas tali yang diikat pada belon panas pada ketinggian 198 meter (650 kaki).

Dalam percubaannya semalam, Saimaiti dilaporkan berdepan beberapa masalah, memaksanya duduk seketika di pertengahan laluan. Tindakan itu dibuat bagi membolehkan Saimaiti mengatasi masalah pada kayu pengimbangnya.

Sebaik saja dia berjaya melintas, orang ramai yang berkumpul menyaksikan lagak ngeri itu memberikan tepukan gemuruh.

Orang ramai kemudian cemas apabila Saimaiti tergelincir sedikit ketika dia meraikan kejayaannya tiba di bakul belon panas berkenaan.  Ekoran kejayaan itu, Saimaiti cuba pula berjalan pada ketinggian 100 meter atau separuh daripada ketinggian akhir yang ingin dicubanya bagi membolehkan namanya dicatat dalam Guinness World Record untuk kali keempat. Bagaimanapun, Saimaiti yang digelar Putera Tali Regang itu gagal dalam percubaannya.

Menurut media, Saimaiti adalah generasi ketujuh daripada keluarga aksi lagak ngeri Uighur yang memang sering mempamerkan kebolehan akrobatik mereka dengan berjalan di atas tali.


Penghuni menara Burj Khalifa berbuka lebih lewat

BURJ KHALIFA...penghuni yang ada di tingkat 80 dan ke atas perlu menunggu dua hingga tiga minit lebih lama sebelum boleh berbuka )

DUBAI: Umat Islam yang tinggal di dalam bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, terpaksa berpuasa lebih lama sepanjang Ramadan.

Ketua ulama Dubai, Mohammed al-Qubaisi, berkata penghuni yang berada di tingkat 80 dan ke atas bangunan itu perlu berbuka dua minit lebih lewat berbanding orang lain.

“Penghuni di tingkat 150 dan ke atas pula perlu berbuka lewat tiga minit,” katanya.
Keadaan itu, kata Mohammed, berlaku kerana mereka melihat matahari lebih lama berbanding orang Islam yang ada di bawah.

“Keadaan mereka sama seperti dialami seseorang Muslim yang bermusafir menggunakan kapal terbang atau penghuni kawasan tanah tinggi.

Menara Burj Khalifa setinggi 828 meter dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010 dan memiliki 160 tingkat yang boleh dihuni.


Harga minyak jatuh kepada RM253.38 setong



SINGAPURA - Harga minyak mentah jatuh dengan berada di bawah paras AS$84 setong (RM253.38) di Asia semalam selepas agensi kewangan Standard & Poor menurunkan penarafan hutang Amerika Syarikat (AS) daripada tahap cemerlang AAA kepada AA+.
Penurunan penarafan hutang itu menjejaskan pertumbuhan ekonomi global termasuk permintaan untuk minyak mentah.
Perkembangan tersebut menyebabkan harga minyak global merudum. Para pelabur kini bimbang keputusan Standard & Poor menurunkan nilai kredit AS itu akan turut melemahkan keyakinan pengguna.
Harga minyak mentah terus menurun daripada AS$100 (RM301) setong pada bulan lalu dan hampir AS$115 (RM346) pada Mei lepas.
"Sentimen lemah pelabur menyebabkan harga minyak menjunam diikuti kebimbangan hutang negara yang meningkat di AS dan Eropah," kata firma Barclays Capital dalam laporannya.

Kuda jantan bangga bermisai panjang

( MISAI Alfie yang sepanjang 17.7 sentimeter )

BITTON, Britain - Seekor kuda jantan bernama Alfie memiliki misai sepanjang 17.7 sentimeter dan ia tidak mahu misai itu dipotong, lapor sebuah akhbar semalam.
Alfie yang bermisai sejak ia dewasa, akan mengelak setiap kali melihat pengurus kandang tempat ia dipelihara di sini, England datang dengan membawa sebilah gunting.
Misai kuda sepatutnya dipotong setiap enam bulan tetapi misai Alfie yang dibela sejak lima tahun lalu, tumbuh panjang sehingga mencecah bibir bawahnya.
"Alfie seekor kuda yang gagah dan amat berbangga dengan misainya," kata pengurus kandang berkenaan yang berusia 20 tahun, Hayley Coxteth .
Sementara itu, beberapa pakar haiwan yang memeriksa Alfie memberitahu, misai itu mungkin yang terpanjang dalam kategori kuda di Britain. 

Awan cerut gergasi

AWAN menyerupai cerut yang terbentuk di kaki langit di Devon, barat daya England baru-baru ini )

DARTMOUTH, Britain - Sekumpulan nelayan menyangka mereka berada dalam filem seram klasik, The Fog apabila melihat formasi awan luar biasa di kaki langit, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Mereka sedang memancing di atas sebuah bot di Selat Inggeris baru-baru ini apabila awan gergasi mirip sebatang cerut tiba-tiba muncul beberapa kilometer di hadapan dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Awan rendah sepanjang 1.6 kilometer itu bergerak ke arah bot mereka, 48 kilometer ke selatan bandar ini dan menyelubunginya beberapa minit kemudian. 

Apartmen paling kecil di AS

PINTU masuk ke apartmen paling kecil di Amerika Syarikat yang terletak di Manhattan, New York )

MANHATTAN, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah apartmen dipercayai yang terkecil di AS, cuma seluas 7.2 meter persegi, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kediaman tersebut yang dimiliki seorang arkitek, Luke Clark Tyler tidak memiliki dapur atau bilik mandi kerana kesempitan ruang.
Dikenali sebagai 'rumah kotak kasut', apartmen berkenaan dilengkapi sebuah katil sofa, ketuhar gelombang mikro dan peti sejuk mini yang dipasang pada meja tempat dia bekerja.
Tyler, 27, berkongsi bilik air dan tandas dengan tiga pemilik apartmen lain di sebuah bangunan apartmen di pusat bandar di sini.
Dia menyewa apartmen mini itu pada harga cuma AS$800 (RM2,406) sebulan.
Sewa tersebut dianggap murah berikutan harga hartanah di sini yang melambung tinggi

Kapal tangki berlanggar dengan kapal layar

( SEBUAH kapal tangki berlanggar dengan sebuah kapal layar di Isle of Wight, Britain )

ISLE OF WIGHT - Sebuah kapal layar dilanggar sebuah kapal tangki minyak dalam satu perlumbaan kapal layar di sini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.  Ratusan orang melihat perlanggaran itu yang melibatkan kapal layar seberat 124,000 tan.  Dua orang dari kapal layar itu tercampak ke dalam laut akibat perlanggaran tersebut.
Kedua-dua orang itu diselamatkan oleh sebuah bot penyelamat dari Southampton.

Seorang anggota pelayaran itu dibawa ke sebuah hospital kerana mengalami kecederaan di kepala.  Para penyiasat kemalangan laut telah diberitahu mengenai kejadian itu.  Layar kapal layar itu tersangkut pada sauh kapal tangki tersebut.  Kapal tangki dari Norway itu dalam perjalanan ke sebuah pusat penapisan minyak di Fawley.

Sunday, August 7, 2011

Manchester United Juara Piala Perisai

MAN UTD   3
SMALLING (52), NANI (58, 90+2)
MAN CITY   2
LESCOTT (38), DZEKO (45)




LONDON: Manchester United bangkit daripada ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama untuk menewaskan Manchester City 3-2 bagi memenangi Perisai Komuniti di Stadium Wembley sebentar tadi.

Joleon Lescott dan Edin Dzeko meletakkan City dua gol di depan pada separuh masa pertama sebelum Chris Smalling dan Nani menyamakan kedudukan untuk juara Liga Perdana Inggeris itu pada awal separuh masa kedua.  Nani menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.



( Piala Pertama Man United Bagi Musim 2011/2012 )